Amanah
Dijulang
11
November 2011 / 15 Zulhijjah 1432H
Sidang
Jemaah yang di rahmati Allah,
Marilah sama-sama kita
meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan
keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala
laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya
di dunia dan di akhirat.
Pada hari yang mulia ini
marilah kita sama-sama menghayati khutbah yang bertajuk: “Amanah Dijulang”
Sidang
Jemaah yang di rahmati Allah,
Kepimpinan adalah perkara
asas dan terpenting yang wujud dalam setiap organisasi atau masyarakat. Seorang
individu sekurang-kurangnya mempunyai amanah dan tanggungjawab terhadap
dirinya. Seorang suami atau isteri mempunyai tanggungjawab terhadap rumah
tangga dan keluarganya. Seorang imam bertanggungjawab terhadap jemaah solat
pimpinannya. Seorang ketua masyarakat dan ketua negara mempunyai tanggungjawab
terhadap rakyat dan seluruh kepemimpinan mereka. Ini menunjukkan fungsi
kepimpinan wujud di
semua peringkat mengikut
tahap-tahap dan tugas-tugas tertentu. Justeru, setiap individu mempunyai
tanggungjawab dan amanah pelbagai yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.
Renungkanlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibn Umar
RA bahawa Rasulullah SAW bersabda berkaitan kepimpinan dalam islam:
Bermaksud:
“Setiap
kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadapnya,
seorang ketua negara adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap
rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab
terhadap keluarganya, seorang isteri adalah penjaga rumahtangga suaminya dan
dia bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya, seorang khadam (pembantu) adalah
penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap
kepemimpinannya.”
Pemimpin juga sinonim
dengan khalifah, imam dan amir. Menurut Islam, setiap pemimpin bertanggungjawab
dalam mengurus, mentadbir dan menjaga apa yang diamanahkan kepadanya. Mereka
bertanggungjawab untuk menjaga segala perkara berkaitan akidah, syariat dan
akhlak agar selari dengan kehendak dan tuntutan Islam. Antara yang perlu dijaga
oleh seseorang pemimpin ialah menjauhkan dirinya daripada melakukan perbuatan
mungkar dan menunaikan kewajipan syarak serta tugas-tugas yang dipikulkan
kepadanya dengan baik dan adil.
Sidang
Jemaah yang di rahmati Allah,
Di dalam Islam, meminta
atau menagih pangkat dan jawatan bukanlah amalan yang terpuji dan perlu
dijauhi. Ini kerana Rasulullah SAW pernah menegur beberapa orang sahabat yang
meminta dilantik ke suatu jawatan seperti nasihat Baginda kepada Abdurrahman
bin Samurah dan Abu Dzar al-Ghifari RA. Sabda
Rasulullah SAW sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdurrahman bin Samurah RA:
Bermaksud:
“wahai
Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta jawatan kerana apabila kamu
diberi jawatan kerana meminta-minta, maka kamu akan dipertanggungjawabkan
dengan jawatan itu sepenuhnya, akan tetapi jika kamu diberi jawatan tanpa
meminta, maka kamu akan dibantu dalam melaksanakannya.”
Diriwayatkan oleh Muslim
daripada Abu Dzar al-Ghifari RA bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah
SAW:
Bermaksud:
“Wahai
Rasulullah kenapa engkau tidak memberi jawatan kepadaku? Baginda langsung
menepukkan tangannya di atas bahuku, kemudian bersabda, “Ya Abu Dzar, sesungguhnya engkau ini lemah dan jawatan
itu amanah, pada hari kiamat ia akan menjadi penghinaan dan penyesalan
kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan hak jawatan
yang menjadi kewajipannya.”
Sidang
Jemaah yang di rahmati Allah,
Kepimpinan dalam Islam
bersifat sepadu yang menitikberatkan keseimbangan di antara roh dan jasad serta
pembangunan spiritual dan material bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan
hidup di dunia dan akhirat. Untuk mencapai matlamat kepimpinan yang bersepadu
tersebut, pemimpin mestilah dipilih daripada kalangan orang-orang bertakwa,
berwibawa dan berkelayakan. Penyerahan kuasa kepada orang yang tidak
berkelayakan dan sesuai menurut
Islam adalah mengkhianati
perintah Allah dan Rasul-Nya. Kepimpinan di dalam Islam juga bukanlah kelebihan
tetapi adalah amanah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan. Benarlah firman
Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 58:
Justeru, setiap pemimpin
dalam pelbagai peringkat mestilah berusaha mempertingkatkan kualiti diri dan
kepimpinan ke tahap yang paling cemerlang. Kepimpinan dalam Islam bukanlah alat
untuk memperoleh kekayaan, pangkat dan kesenangan hidup di dunia, malah ianya
merupakan amanah berat yang dikendong dan wajib ditunaikan serta akan
dipersoalkan di akhirat kelak. Ingatlah, kelalaian dan kegagalan pemimpin dalam
melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut sama ada pemimpin keluarga atau
rumah tangga, masyarakat atau negara akan mengakibatkan penyesalan dan kerugian
di akhirat kelak.
Sidang
Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Antara ciri-ciri yang
perlu dimiliki oleh setiap pemimpin yang mahu cemerlang ialah dengan menurut
segala petunjuk yang terkandung dalam Al-Qur’an dan menjadikan kepimpinan
Rasulullah SAW sebagai contoh. Ini kerana Baginda adalah contoh teladan
terunggul yang selayaknya diteladani. Baginda adalah ayah, suami, datuk dan
rakan yang pengasih dan penyayang serta dikasihi oleh mereka yang berada
disekelilingnya. Baginda bukan saja pemimpin agama yang
memurnikan keyakinan dan
akidah umat manusia dari kegelapan kepada cahaya kebenaran, malah baginda juga
adalah pemimpin yang berjaya menyusun pemerintahan yang terunggul meliputi
segala bidang kehidupan manusia, politik, pentadbiran, pertahanan negara,
ekonomi, pendidikan, kehidupan sosio budaya masyarakat dan sebagainya. Baginda
juga seorang penggubal undang-undang, pembina akhlak dan nilai moral yang
tinggi lagi terpuji. Bahkan dikalangan para nabi dan rasul, baginda adalah
rasul terulung dan teragung, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah
al-Ahzab ayat 21:
Sidang
Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kesimpulan khutbah yang
dapat diambil pada hari ini ialah:
Pertama: Kepimpinan
dan tanggungjawab wujud dalam semua peringkat kehidupan sama ada kepimpinan
atau tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.
Kedua: Kepimpinan
bukanlah alat untuk memperoleh kekayaan, pangkat dan kesenangan hidup, akan
tetapi ia merupakan amanah berat yang wajib ditunaikan dan akan dipersoalkan di
akhirat kelak.
Ketiga:.Kepimpinan
dalam Islam bersifat sepadu yang menitikberatkan keseimbangan pembangunan di
antara roh dan jasad, spiritual dan material untuk mencapai kebahgiaan hidup di
dunia dan akhirat
Firman Allah SWT di dalam
surah al-Hajj ayat 41:
=======================================================================
ayat ini cukop untuk menceritakan tentang keegoan manusia dalam memegang amanah.ambil iktibar. :)
menjadi pemimpin bukanlah satu kerje atau tugas yg mudah.Persiapan dr segi mental dan fizikal amt penting.Dengan adenye pertolongan dr Allah , insyaAllah tggjwb itu dpt dijalankan dgn sebaiknye